Monday 5 December 2011

KSSR Bahasa Malaysia


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara.





STANDARD KURIKULUM BAHASA MALAYSIA SEKOLAH KEBANGSAAN


PENDAHULUAN

Dunia pendidikan mengalami perkembangan yang sangat dinamik dalam arus globalisasi. Perkembangan ini juga menuntut perubahan dalam kurikulum. Seiringan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum.

Selaras dengan perubahan tersebut, kurikulum Bahasa Malaysia turut melalui proses semakan dan penambahbaikan dalam penggubalannya hingga terhasil Standard Kurikulum Bahasa Malaysia. Standard yang diketengahkan ini mengandungi Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Standard Kurikulum ini merupakan pernyataan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai murni yang mesti dipelajari dan dikuasai oleh murid di sekolah kebangsaan.

Penggubalan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia berpaksikan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Standard ini menjujung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan negara, bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah.

Standard ini turut menitikberatkan penggabung jalinan kemahiran bahasa, penyerapan ilmu dan nilai murni. Standard Kurikulum Bahasa Malaysia boleh dijadikan pemangkin untuk memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan Bahasa Melayu.

Pada asasnya, pembinaan kerangka standard ini berdasarkan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Standard ini mengetengahkan pendekatan berbentuk modular dan pembelajaran secara didik hibur bagi mencungkil potensi murid untuk meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Seterusnya, membolehkan murid memperkembangkan keupayaan dan penguasaan kemahiran bahasa, serta berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua urusan.

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Kebangsaan mengambil kira pendekatan pengajaran bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama. Kepelbagaian pengajaran dan pembelajaran, minat dan kecerdasan yang berbeza dalam kalangan murid turut diberi penekanan. Selain itu, aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah turut dijadikan landasan bagi membina keyakinan diri, mengetengahkan bakat, memupuk sifat kepemimpinan, dan ketokohan murid dalam pelbagai bidang. Aktiviti kokurikulum juga berupaya memantapkan penguasaan berbahasa murid serta menyokong pelaksanaan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia.

 
TUNJANG KURIKULUM STANDARD  SEKOLAH RENDAH

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia dibina berasaskan enam tunjang, iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Literasi Sains dan Teknologi; Fizikal dan Estetika; dan Keterampilan Diri. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif.

Kesepaduan ini bertujuan untuk membangunkan modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berketerampilan seperti yang terdapat dalam Rajah:

 



MATLAMAT

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.



OBJEKTIF

Murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah berkeupayaan untuk:

1.      Mendengar, mengecam, mengajuk dan menentukan arah bunyi persekitaran dengan teliti dan betul;
2.      Mendengar, memahami, dan menyebut bunyi bahasa iaitu abjad, perkataan, frasa dan ayat dengan betul;
3.      Mendengar, memahami dan memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan dan pertanyaan dengan betul;
4.      Bertutur dan berbual serta menyatakan permintaan tentang sesuatu perkara dalam situasi formal dan tidak formal dengan betul secara bertatasusila;
5.      Bercerita sesuatu perkara dan menceritakan semula perkara yang didengar menggunakan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;
6.      Berbicara untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber dengan tepat secara bertatasusila;
7.      Berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila;
8.      Membaca pelbagai perkataan, frasa dan ayat secara mekanis dengan sebutan dan intonasi yang betul;
9.      Membaca, memahami perkataan, frasa dan ayat daripada pelbagai sumber dengan lancar, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;
10.  Membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat daripada pelbagai bahan untuk memberi respons dengan betul;
11.  Membaca dan menaakul untuk memindahkan maklumat  yang terdapat dalam pelbagai bahan.
12.  Membaca pelbagai bahan bacaan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca;
13.  Melakukan aktiviti pramenulis dengan betul;
14.  Menulis secara mekanis dengan betul dan kemas;
15.  Membina dan menulis perkataan, frasa dan ayat dengan betul;
16.  Menulis imlak dengan tepat.
17.  Mencatat dan menulis untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa yang santun;
18.  Menghasilkan penulisan kreatif dalam pelbagai genre dengan betul;
19.  Mengedit dan memurnikan hasil penulisan;
20.  Menulis ulasan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber;
21.  Menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan; dan
22.  Menghayati dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.


No comments:

Post a Comment